Artikel yang dipetik dari web www.zaharuddin.net berkaitan pelaburan emas.
Tidak dinafikan, tatkala nilai matawang USD dan lain-lain semakin tidak menentu ketika ini,
membeli emas dengan tujuan pelaburan adalah tindakan positif menurut banyak pendapat.
Ini mungkin disebabkan emas yang mempunyai nilai lebih stabil berbanding matawang kertas
( paper or fiat money), ditambah pula dengan permintaan emas yang sentiasa ada. Bagi
mengulas isu yang ditanyakan, setelah merujuk dan melakukan pembacaan maklumat dari
web bank yang terbabit, saya berpendapat seperti berikut :-
Apabila seseorang pelanggan ingin membuka akaun pelaburan emas, ia beerti ia bersetuju
untuk membeli emas, simpan dan mungkin menjualnya apabila harga emas meningkat.
Oleh kerana itu, hukum bagi sebarang jenis akaun pelaburan jenis emas ini bergantung
kepada beberapa keadaan, bagi memberikan sedikit kefahaman kepada pembaca
berkenaan keadaan-keadaan berbeza ini, ia adalah seperti berikut :-
• HARAM DAN BATAL : Jika emas itu belum berada dalam pemilikan bank dan hanya akan
dibeli daripada pihak ketiga dalam majlis transaksi yang berasingan. Urusniaga pembukaan
akaun itu telah menjadi HARAM dan tidak SAH, kerana pihak bank telah menjual emas yang
tiada di dalam miliknya dan juga kerana riba telah berlaku apabila tiadanya elemen
‘Taqabud fil Majlis' (serah terima dalam satu masa), sebarang penangguhan membawa
kepada Riba an-Nasiah.
Kesimpulan ; pastikan emas yang ingin dijual mestilah berada dalam pemilikan pihak bank tersebut.
• HARAM DAN BATAL : Iaitu jika emas BELUM atau TIDAK diterima sertamerta ketika
membuka akaun pelaburan emas itu.
Sebagai contohnya, pelanggan hanya yang membayar sejumlah wang untuk membeli emas 100
gram dan memulkana akaunnya, namun pihak bank tidak memberikan sebarang bukti pembelian
telah termeterai dengan rasminya atau ‘concluded'. SERTA tiada sebarang jenis bukti bertulis yang
menunjukkan pelanggan kini menerima ‘hak tasarruf' (hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang
telah dibelinya sama ada untuk menjualnya padabila-bila masa yang dikehendakinya).
• HALAL DAN SAH :
Setelah anda membaca dua bentuk yang jatuh haram, sudah tentu anda mampu memeastikan
bagaimana bentuk akaun pelaburan emas yang halal dan sah. Iaitu :-
a. Bank memiliki emas yang dijual semasa menjual.
b. Bank memberikan bukti dan hak tasarruf kepada pelanggan sama ada dalam bentuk fizikal emas
atau bentuk sijil hak ke atas sejumlah emas (yang telah dibeli), yang mana sijil itu melayakkan
pelanggan itu menuntut emasnya secara fizikal pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Ini
bermakna sijil itu ibarat sebuah kad debit dan cek yang mewakili duit fizikal yang wujud.
Penyerahan menggunakan sijil ha milik emas sebagai tanda pembeli dan pembukaan akaun sudah
sempurna adalah SAH DAN HARUS di sisi Islam. Ia dianggap sebagai penyerahan tidak fizikal
(al-Qabdhu Al-Ma'nawi) Demikian fatwa oleh Majlis Fiqh Antarabangsa dalam keputusan mereka
nombor 84, 9/1 (Qararat Wa Tawsiat, hlm 191)
DALAM KES AKAUN PELABURAN EMAS DI BANK ?
Setelah melihat serba ringkas info akaun pelaburan emas di kedua-dua bank terbabit melalui web
mereka. Saya kira Maybank menawarkan akaun pelaburan emas yang HALAL dengan TIGA lagi
syarat tambahan lagi, iaitu :
1- JANGAN DIGUNAKAN UNTUK AKTIVTI RIBA : mestilah emas sebenar (fizikal) yang berada
simpanannya bagi pihak pelanggan tadi TIDAK digunakan untuk kegunaan aktiviti ribawi mereka.
Justeru, satu jaminan atau pengesahan dari pihak bank mestilah diperolehi sama ada secara lisan
atau bertulis atau disahkan oleh Majlis Syariah bank berkenaan.
Apabila kita menyimpan emas fizikal yang telah kita beli di bank tersebut, aqad simpanan itu
juga sepatutnya mesti dikenal pasti dengan jelas. Apakah jenis aqadnya? Adakah ia Wadiah? atau
Qard dan sebagainya.
2- JUMLAH EMAS MENCUKUPI KETIKA TRANSAKSI : Mestilah dipastikan wujud jumlah emas
mencukupi ketika proses jual beli dibuat pada satu-satu masa.
Maksud saya, sebagai contoh : Bank mempunyai 100 kilo emas sahaja, dalam masa yang sama
(satu waktu), 100 kilo emas itu digunakan untuk dua atau lebih pelanggan yang berlainan.
Pelanggan Ahmad membeli 100 kilo emas pada jam 2.30 petang, demikian juga sdr Ah Chong tepat
jam 2.30 petang juga membeli dan membuka akaun yang sama di kaunter berlainan, padahal bank
hanya mempunyai 100 kilo emas sahaja. Tatkala itu, transaksi orang kedua tidak sah. Hanya yang
pertama sahaja yang sah.
3- CARA PEMBAYARAN YANG HALAL : Pembayaran yang dibuat oleh pihak pelanggan pula
WAJIBLAH menggunakan sama ada tunai, debit akaun sertamerta, kad debit dan kad kredit Islam
bank tempatan, cek tempatan. Sebarang pembayaran menggunakan cek antarabangsa dan kad
kredit Islam yang mengambil masa lebih 3 hari untuk settlement adalah TERLARANG menurut fatwa
Majlis Fiqh Antarabangsa.
Mengapa 3 hari? ia adalah tempoh maksimum menurut ‘uruf bagi memastikan syarat ‘Taqabud
fil hal'tercapai, ia adalah fatwa yang dipetik dari pandangan Mazhab Maliki dan juga fatwa
kebanyakan ulama fiqh sedunia, termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah.
4- PEMEGANG AKAUN PELABURAN EMAS MESTILAH MEMBAYAR ZAKAT : Apabila cukup hawl atau
tempoh setahun bulan Islam dan apabila nisab simpanannya mencapai atau melebihi nisab wajib
keluar zakat emas iaitu 85 gram. Untuk kira-kira buka di sini.
Namun akaun pelaburan Public Bank saya kurang pasti kerana tidak dinyatakan sama ada sijil atau
bukti pembelian itu boleh ditukarkan kepada emas fizikal pada bila-bila masa yang dikehendaki.
Malah penyoal menyatakan beliau telah menelefon pihak bank dan terbukti sijil atau bukti pembelian
itu tersebut TIDAK BOLEH ditukar kepada emas fizikal. Tatkala itu, bagi saya transaksi ini bermasalah
dari sudut hukum Islam.
Jika sijil tersebut tidak boleh ditukar kepada emas fizikal, tatkala itu ia memberikan kesan
kepada proses‘Taqabud al-hukmi' yang disyaratkan dalam jual beli item ribawi dan merosakkan aqad
ini, dalam kes ini antara emas dan wang Ringgit Malaysia.
KESIMPULAN
Bagi sesiapa yang ingin membuka akaun ini, saya nasihatkan menyemak terlebih dahulu perkara yang
telah saya sebutkan di atas. Ditambah pula, akaun pelaburan emas dan kijang emas ini tidak
diletakkan di bawah skim pelaburan Islam maybank dan public bank. Ia sekali lagi menimbulkan
tandatanya. Saya tidak ada kemudahan untuk menyemak hal itu ketika ini kerana kesukaran
komunikasi dengan pihak bank terbabit, terutamanya berada di perantauan.
Jika anda sudah punyai jawapan kepada syarat dan persoalan yang saya utarakan di atas. Baik jika
dapat anda memaklumkan kepada saya dengan tepat dan jitu. Saya juga berminat untuk membuka
akaun ini jika semua persoalan di atas telah LULUS.
sekian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment