Bank Negara naik premium insurans kenderaan
Saturday, February 26, 2011
2011/02/26 BERITA HARIAN
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia akan menaikkan premium insurans kenderaan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun mulai tahun depan pada kadar minimum yang tidak membebankan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah.
Penolong Gabenornya, Abu Hassan Alshari, berkata ia antara langkah yang akan dilaksanakan menerusi cadangan Rangka Kerja Baru Perlindungan Pemotoran dengan matlamat memudahkan pengguna kenderaan mendapatkan perlindungan serta meningkatkan kecekapan proses tuntutan insurans. “Kadar kenaikan premium itu masih belum dimuktamadkan, bagaimanapun ia tidak akan membebankan pengguna selepas mengambil kira maklum balas dan input pelbagai pemegang kepentingan,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan terkini cadangan Rangka Kerja Baru Perlindungan Pemotoran di sini, semalam. Hadir sama Pengarah Jabatan Kewangan Sektor Kewangannya, Abdul Rasheed Ghafur.
Abu Hassan berkata, sebagai contoh, bagi perlindungan pihak ketiga motosikal 100cc dan ke bawah, cadangan kenaikan adalah antara RM1 hingga RM3.50 setahun dan RM1 hingga RM2 untuk perlindungan komprehensif.
Untuk perlindungan pihak ketiga kereta persendirian 1,400cc, kenaikan adalah antara RM6 hingga RM34 setahun untuk empat tahun dan RM7 hingga RM19 untuk perlindungan komprehensif.
Abu Hassan berkata, pihaknya sudah pun mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemegang kepentingan serta pandangan majlis ekonomi mengenai perkara berkenaan.
0 comments:
Post a Comment