Ar-Rahnu X’change diperluas
Wednesday, March 30, 2011
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2011/03/30 BERITA HARIAN
Bank Rakyat mahu buka 13 cawangan baru khidmat pajak gadai Islam
BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) komited mengembangkan perniagaan francais perkhidmatan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu X’change dengan rancangan membuka 13 lagi cawangan baru diuruskan oleh koperasi tahun ini. Kini, Bank Rakyat menerusi anak syarikatnya, Rakyat Management Services Sdn Bhd memiliki dan mengurus sembilan Ar-Rahnu X’change manakala 17 lagi diurus oleh francaisi, terdiri daripada kumpulan koperasi. Perkhidmatan itu turut ditawarkan di semua 127 cawangan Bank Rakyat di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sasaran pembukaan 13 cawangan baru tahun ini akan menjadikan keseluruhan rangkaian francais Ar-Rahnu X’change meningkat kepada 30 cawangan seluruh negara.
Bank Rakyat, katanya, turut menyasarkan pengeluaran pinjaman terkumpul oleh rangkaian francaisi Ar-Rahnu X’change meningkat kepada RM200 juta tahun ini.
Katanya, francaisi Ar-Rahnu X’change mencatat prestasi membanggakan dengan jumlah pengeluaran terkumpul berjumlah RM121.7 juta sepanjang tahun lalu.
Katanya, sejumlah RM24.8 juta pinjaman dikeluarkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini dengan jumlah baki pinjaman RM95.7 juta bagi tempoh sama.
“Peningkatan keyakinan pelanggan ke atas jenama Ar-Rahnu X’change juga dapat dilihat dengan pertumbuhan pengeluaran pinjaman francaisi pajak gadai itu yang sentiasa konsisten.
“Ini kerana ada juga francaisi mencatat jumlah pengeluaran pinjaman bulanan melebihi RM2 juta,” katanya pada sidang media selepas melancarkan cawangan francais terbaru Ar-Rahnu X’change yang dimiliki oleh Koperasi Wawasan Pekerja-pekerja Bhd (KOWAJA) di Rawang, Selangor semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat merangkap Ahli Lembaga Pengarah RManagement; Penasihat KOWAJA, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan Pengerusi KOWAJA, Bruhanutheen Ahmed Mustafa.
Menerusi francais Ar-Rahnu X’change, Bank Rakyat membenarkan KOWAJA yang dianggotai lebih 89,000 oleh kakitangan awam dan swasta itu memegang hak sebagai francaisi bagi menjalankan perniagaan pajak gadai Islam itu.
Ar-Rahnu X’change KOWAJA turut mencatatkan prestasi permulaan memberangsangkan dengan mencatatkan jumlah pengeluaran pinjaman melebihi RM1 juta dalam tempoh tiga bulan beroperasi.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, industri pajak gadai kini terbukti sebagai penyelesaian segera kepada keperluan kewangan peribadi serta antara kaedah mendapatkan modal bagi peluang perniagaan.
“Peningkatan tahap kesedaran Ar-Rahnu di kalangan masyarakat juga menjadikannya sebagai satu alternatif kepada kebergantungan terhadap ceti haram atau ‘ah long’,” katanya.
0 comments:
Post a Comment