Bukan Islam juga pilih Ar-Rahnu
Thursday, March 31, 2011
UTUSAN MALAYSIA 1 APRIL 2011
PERNIAGAAN Ar-Rahnu Koperasi Pekerja-Pekerja Jabatan Perdana Menteri (M) Berhad (KOOP JPM) bermula apabila pihak kami memikirkan keperluan apabila ada di antara anggota koperasi yang terjebak dengan ah long.
"Kemudahan mikro kredit ini sebagai fardu kifayah KOOP JPM kepada anggota dan masyarakat Islam sekitar, sekali gus dapat menghindari daripada terus terjebak atau terjerat dengan tipu muslihat ah long," demikian kata Pengurus Besar KOOP JPM, Khairu Radzi Hussin mengenai kewujudan perkhidmatan pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu X'Changenya di Semenyih.
Kata Khairu Radzi, kemudahan yang ditawarkan itu perlu sebagai melengkapkan sistem kewangan Islam dan secara umumnya menawarkan kemudahan mikro kredit yang paling mudah, berkesan dan dapat memaksimumkan nilai aset dan mengelakkan daripada ah long dan lain-lain.
Apatah lagi, kemudahan ini ditawarkan kepada semua tanpa mengira agama, bangsa dan warganegara.
"Semenjak ditawarkan kita telah nampak trend di mana kaum India lebih banyak menggunakan kemudahan ini iaitu hampir 60 peratus.
"Trend penggadaian menunjukkan peningkatan pada akhir dan awal tahun.
"Ini berkemungkinan kerana kebaikan Ar-Rahnu itu adalah dari segi ketelusan dalam semua urusniaga, bebas unsur riba, tiada yuran pemprosesan, barang kemas disimpan dengan selamat dan diinsurankan.
"Semua urusan dibuat di hadapan pelanggan. Selain itu, faktor margin gadaiannya juga tinggi, upah simpan yang rendah, boleh membayar secara ansuran.
Sekiranya barang tidak dituntut dan dilelong maka lebihan harga akan dibayar kepada penggadai," katanya.
Menjelaskan antara sebab orang memilih Ar-Rahnu, Khairu Radzi berkata, menerusi sesi interbiu dan kajian profil pelanggan Ar-Rahnu Semenyih ia adalah terdiri daripada beberapa golongan.
Pertama golongan kontraktor kecil. Mereka menggadai untuk modal kerja dan apabila dapat bayaran kerja akan menebus kembali.
Kedua, golongan biasa yang memerlukan tunai segera seperti untuk bayaran persekolahan anak, bayaran bil hospital, perayaan dan lain-lain dan golongan ketiga, yang mempunyai barang kemas yang banyak seperti barang kemas pusaka dan takut hilang jika disimpan di rumah. Oleh itu, simpanan di Ar-Rahnu adalah diinsurankan dan wang dilabur dalam (Amanah Saham Bumiputera) dan unit amanah. Selain, bayaran dividen dapat menampung bayaran upah.
Menjelaskan serba ringkas tentang latar belakang Ar-Rahnu Semenyih, Khairu Radzi berkata ia telah memulakan perniagaan pada 1 Julai 2009.
"Kajian pasaran yang dilakukan mendapati Semenyih adalah kawasan yang sesuai terutama pola penduduknya yang bercampur dengan pelbagai kaum.
"Bagi tempoh 1 Julai 2009 hingga 31 Disember 2009, jumlah pinjaman yang dikeluarkan adalah RM8,437,267.00 dengan nilai marhun RM13,199,967.00.
"Baki pinjaman pada pertengahan bulan Mac 2011 adalah RM15 juta dengan nilai marhun RM25 juta," katanya.
Ar-Rahnu Semenyih dikendalikan oleh empat kakitangan iaitu seorang pengurus dan tiga kakitangan sokongan.
0 comments:
Post a Comment