Memberikan Perkhidmatan Produk MAA Takaful Dan Jual Beli Emas Fizikal
Powered by Blogger.

Perlindungan Takaful dan Simpanan Emas

Perlindungan Takaful dan Simpanan Emas

Persoalan Agama: Dalil ayat al-Quran pembahagian harta secara faraid

Sunday, March 27, 2011

BERITA HARIAN 2011/03/27
Soalan: SAYA inginkan hukum serta dalil berkaitan faraid agar dapat saya memaklumkan kepada adik beradik supaya bersetuju melaksanakan hukum Allah ini dengan segera. Jo, Kuala Lumpur.

Jawapan:
Pembahagian harta secara faraid selepas kematian seseorang adalah wajib. Maksud wajib ialah apabila dikerjakan mendapat pahala, apabila ditinggalkan mendapat seksa. Dalam harta ditinggalkan itu, ada hak yang ditetapkan Allah SWT untuk dibahagikan. Sekiranya kita tidak membahagikan, dibimbangi kita memakan hak orang lain secara batil.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 10 dan 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua anak perempuan.”

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Jabir ra, beliau berkata: “Isteri Sa’d bin ar-Rabi’ datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, ini adalah dua puteri Sa’d bin ar-Rabi’ yang mana ayah mereka gugur sebagai syuhada dalam peperangan Uhud bersamamu. Dan sesungguhnya bapa saudara mereka berdua mengambil harta mereka dan tidak meninggalkannya buat mereka. Dan mereka berdua tidak akan menikah kecuali bila memiliki harta.

Maka Nabi SAW berkata: Allah akan memutuskan perkara ini. Maka turunlah ayat mengenai Faraid. Rasulullah SAW mengirim utusan kepada bapa saudara mereka supaya menemui Baginda. Nabi SAW berkata kepadanya (yang bermaksud): “Berilah kedua-dua puteri Sa’d dua pertiga dan ibunya satu per lapan dan bakinya adalah bahagianmu.”

Sebelum berlakunya pembahagian harta secara faraid, hendaklah diselesaikan dulu lima perkara berkaitan jenazah iaitu:

1. Melihat kedudukan harta waris itu sendiri dari segi hak dan kaitannya dengan perkara lain seperti zakat, nazar, haji, denda hukum, hutang kepada Allah SWT dan sebagainya. Contohnya, jika zakatnya belum dikeluarkan, maka wajib dikeluarkan atau jika ada nazar, hendaklah diselesaikan.

2. Baki daripada harta terbabit hendaklah diselesaikan perkara berkaitan pengurusan jenazah si mati, contohnya membeli kain kafan dan perbelanjaan pengebumian.

3. Hendaklah diselesaikan hutang kepada orang lain sama ada hutang itu memang diketahui melalui pengakuannya semasa hidup atau bukti lain sesudah kematiannya.

4. Jika ada wasiat, hendaklah tidak melebihi satu pertiga.

5. Baki selepas diselesaikan semua perkara di atas, barulah dibahagikan mengikut hukum faraid kepada ahli waris yang layak.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP