Memberikan Perkhidmatan Produk MAA Takaful Dan Jual Beli Emas Fizikal
Powered by Blogger.

Perlindungan Takaful dan Simpanan Emas

Perlindungan Takaful dan Simpanan Emas

Selepas emas, warga India kejar perak pula

Monday, May 30, 2011

UTUSAN MALAYSIA 31 MEI 2011



SEORANG peniaga perak menimbang barangan kemas yang diperbuat daripada logam itu di Ahmedabad, India. Peningkatan harga perak menyaksikan barangan yang diperbuat daripada logam tersebut dikitar semula untuk ditukarkan dalam bentuk jongkong bagi memudahkan ia diniagakan. - REUTER

--------------------------------------------------------------------------------



NEW DELHI 30 Mei - India, pengguna emas terbesar dunia, kini giat menyimpan perak untuk mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi daripada kenaikan harga berbanding emas.

Permintaan bagi perak yang kini diniagakan pada kira-kira 58,500 rupee sekilogram (RM4,034), melonjak di seluruh India apabila jualan mencecah 600 tan metrik hingga April, sedangkan jumlah penggunaan tahun lepas hanya 2,800 tan metrik.

Di bandar-bandar utama India, emas diniagakan pada kira-kira 22,820 rupee (RM1,574) bagi setiap 10 gram.

"Harga emas terlalu tinggi, jadi orang lebih banyak membeli perak kerana ia lebih murah dan kadar peningkatannya lebih tinggi. Mereka beralih kepada perak bagi tujuan pelaburan.

"Jika monsun baik, permintaan bagi perak tahun ini dengan mudah boleh mencecah 3,500 hingga 4,000 tan metrik," kata Presiden Persatuan Jongkong Bombay, Prithviraj Saremal Kothari kepada Bernama.

India mengimport hampir 800 tan metrik emas setahun dan 3,000 tan metrik perak bagi menampung penggunaan tempatan. Tetapi, emas, yang dianggap sebagai barangan yang membawa tuah di kalangan isi rumah India, masih menikmati permintaan tinggi.

Selepas musim panas yang sangat terik, petani-petani India menunggu musim monsun tiba, yang boleh menghasilkan tuaian yang lebih baik sekali gus menghasilkan lebih banyak wang bagi mereka.

Yang menariknya, sebahagian besar penduduk pedalaman India merupakan pembeli perak terbesar.

"Sebanyak 75 peratus penduduk pedalaman India membeli perak, jadi, permintaan bagi masa akan datang bergantung kepada monsun," kata Kothari.

Seperti pada masa-masa lalu, permintaan dijangka muncul dari kawasan pedalaman India, yang merupakan tempat tinggal 65 peratus daripada penduduk India dan kebanyakan mereka melabur dalam barang kemas.

"Pendapatan di kawasan pedalaman India telah meningkat disebabkan hasil daripada musim monsun yang baik, pengeluaran lebih tinggi dan disebabkan oleh skim-skim guna tenaga kerajaan. Monsun kali ini dijangka lebih baik," kata Anjani Sinha, Ketua Pegawai Eksekutif National Spot Exchange Ltd. yang berpangkalan di Mumbai.

Golongan pertengahan India yang semakin ramai memasuki pasaran perak dan pelancaran e-perak yang memperkenal penjualan dan pembelian dalam talian, terus mencetuskan permintaan bagi logam itu. - BERNAMA

Read more...

Dinar Dirham: KGT sasar 20 ribu kedai

Saturday, May 28, 2011

HARAKAHDAILY 28 MEI 2011

KOTA BHARU, 28 Mei: Kelantan Golden Trade (KGT) mensasarkan 20,000 peniaga yang berminat menerima urusniaga Dinar dan Dirham bagi menyemarakkan penggunaan mata wang syariah.

Pengarah Eksekutif KGT Nik Mahani Mohamad berkata, tindakan proaktif itu bagi mempopularkan semula penggunaan mata wang syariah di kalangan umat Islam.

“Untuk 2011 kami target pendaftaran 20,000 kedai termasuk kedai kepunyaan non-muslim yang sedia menerima Dinar dan Dirham sebagai mata wang syariah.

“Dan diharap ia menjadi pencetus kepada pembayaran gaji kakitangan kerajaan, pembayaran zakat dan aktiviti jual beli rakyat menggunakan Dinar dan Dirham” katanya pada persidangan media sempena Kempen Dinar Emas Kelantan 2011 di sebuah hotel di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi KGT, Umar Ibrahim Vadillo. Sekarang lebih 2,000 pekedai berdaftar dengan KGT di seluruh Malaysia.

Nik Mahani juga berkata, KGT kini berusaha menyemarakkan lagi penggunaan mata wang syariah, di mana telah dimulakan kempen sejak dua bulan lalu di Kuala Lumpur.

“Di samping mendekati rakyat, program itu juga dilaksanakan sempena pelancaran Projek Printis Pasar Terbuka Pasar Besar Siti Khadijah di Kelantan,” ujarnya.

KGT juga melancarkan Khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMS) bagi memudahkan pengguna mengetahui harga harian Dinar dan Dirham pada sepanjang tahun.

Selain itu KGT turut menyertai Karnival Halal Kelantan 2011 yang akan dirasmikan Tengku Mahkota Kelantan pada 29 Mei di Balai Islam.

Read more...

PBB beri amaran krisis dolar

Friday, May 27, 2011

UTUSAN MALAYSIA 27 MEI 2011

NEW YORK 26 Mei - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kemungkinan berlakunya krisis keyakinan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) jika nilai mata wang asing itu terus menurun berbanding mata wang utama lain.

Tinjauan Divisyen Ekonomi PBB terhadap ekonomi dunia mendapati kejatuhan nilai mata wang dolar adalah berbahaya terhadap sistem kewangan global.

Laporan PBB yang merupakan perkembangan terkini turut menyatakan kadar pertukaran dolar berbanding kumpulan mata wang utama lain telah mencecah paras terendah sejak 1970-an.

Katanya, aliran tersebut disebabkan oleh perbezaan kadar faedah antara Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi utama serta peningkatan kebimbangan terhadap kemampanan hutang awam AS, yang sebahagiannya dipegang oleh orang asing.

''Sebagai keputusannya, jangkaan kerugian nilai buku oleh pegangan rizab asing akan menyebabkan krisis keyakinan dalam rizab mata wang, yang akan menyebabkan keseluruhan sistem kewangan global berisiko,'' kata laporan itu.

Laporan 17 muka surat itu, menunjukkan risiko kejatuhan nilai dolar AS.

Pakar Ekonomi Kanan PBB, Rob Vos yang terlibat dalam laporan itu berkata, pasaran-pasaran baru muncul secara besar-besaran mulai menjual mata wang dolar AS, sekali gus akan menyebabkan kejatuhan mata wang itu.

''Kami tidak menyatakan kejatuhan pasti berlaku, tetapi faktor yang menyebabkannya risiko seumpama itu sedang berlaku sekiranya perkara-perkara lain yang berkaitan tidak bertambah baik,'' katanya.

Pakar-pakar ekonomi PBB, sedang menimbang sama ada dolar perlu terus menjadi mata wang tunggal dunia manakala pihak lain menunjukkan kebimbangan mereka terhadap kedudukan kewangan AS.

Standard & Poor's telah memberikan amaran untuk menurunkan penarafan kredit AS pada AAA, kecuali kerajaan pentadbiran Obama dan kongres menemui jalan untuk mengurangkan bajet defisit persekutuan dalam tempoh dua tahun.

Penurunan taraf itu akan menghilangkan status AS sebagai kuasa ekonomi dunia dan peranan dolar sebagai mata wang dominan global.

Setiausaha Perbendaharaan, Timothy Geithner berkata, kerajaan AS tidak akan melepaskan tanggungjawab mereka. - Reuters

Read more...

Awasi riba dalam pembelian emas

Thursday, May 19, 2011

UTUSAN MALAYSIA

Oleh NAJAHUDIN LATEH



Logam emas kini bukan sahaja diminati kaum wanita malah kaum lelaki juga semakin memahami ketinggian nilainya. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------

AKHIR-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam di negara ini untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya.

Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka lupa akan batas-batas syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada amalan riba yang diharamkan Islam.

Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah': 278-279)

Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam urus niaga sesuatu barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.

Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh 'Ubadah bin al-Samit : Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim)

Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan garam.

Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam urus niaga barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang lain.

Urus niaga pembelian emas kini melibatkan pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).

Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh. Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad pembelian sebelum berpisah.

Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP