Memberikan Perkhidmatan Produk MAA Takaful Dan Jual Beli Emas Fizikal
Powered by Blogger.

Perlindungan Takaful dan Simpanan Emas

Perlindungan Takaful dan Simpanan Emas

Wasiat lindungi hak waris, pembahagian harta lancar

Tuesday, July 19, 2011

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

BERITA HARIAN 2011/07/20

Agihan hanya sepertiga daripada harta pusaka

HIBAH dan wasiat adalah salah satu daripada bentuk pengurusan harta dalam Islam. Hibah bermaksud kontrak tabarru’ yang tidak mempunyai syarat balasan dan dilakukan semasa hidup yang membolehkan seseorang itu melupuskan harta kepada ahli waris atau orang lain. Wasiat berasal daripada perkataan ‘wassa’ ialah menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan seseorang ketika hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia. Menurut Mazhab Syafie, wasiat adalah pemberian hak yang boleh dilaksanakan selepas berlaku kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Wasiat berdasarkan hukum syarak pada asalnya adalah diwajibkan.

Firman Allah bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara baik (menurut peraturan agama), sebagai kewajipan atas orang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180)

Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya yang mempunyai harta supaya melakukan wasiat semasa hidupnya berdasarkan sabda Baginda bermaksud: “Seseorang Muslim mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya di sisinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, kewajipan itu terhapus dengan hadis berkaitan pusaka antaranya yang diriwayatkan at-Tirmizi: “Allah memberikan bahagian setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”
Wasiat pada dasarnya mempunyai dua syarat utama, pertama, wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris yang berhak menerima pusaka dan kedua, kadarnya adalah tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si mati.

Berdasarkan peraturan asas itu, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris seperti anak mahupun ibu bapa pemberi wasiat kerana ahli waris sudah menerima bahagian mereka melalui pusaka.

Walaupun demikian, diharuskan memberi wasiat kepada ahli waris yang berhak menerima pusaka dan hukumnya harus mengikut Mazhab Syafie dengan syarat selepas mendapat persetujuan waris lain.

Syarat kedua, seperti disepakati ulama fiqh, kadar wasiat ditetapkan hanya satu pertiga daripada harta bersih peninggalannya, selepas ditolak belanja pengebumian, pembayaran hutang dan sebagainya.

Diriwayatkan daripada Saad Abi Waqas: “Aku benar-benar tenat. Lalu Rasulullah SAW menjengukku. Maka aku bertanya: Ya Rasulullah, aku tidak mempunyai waris kecuali anak perempuanku. Adakah aku boleh sedekahkan kesemua hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku bertanya: Dua pertiga daripada hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku berkata: Adakah boleh aku sedekahkan satu pertiga daripada hartaku? Baginda menjawab: Sepertiga. Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya kamu meninggalkan warismu kaya lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka miskin sambil menadah tangan mereka kepada orang ramai.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Merujuk peruntukan undang-undang di Malaysia berkaitan wasiat seperti Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, memberi tafsiran wasiat dengan memberi maksud iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.

Berdasarkan enakmen itu, undang-undang memperuntukkan berkaitan kadar wasiat serta had wasiat dan wasiat kepada waris.

Seksyen 26(1) memperuntukkan: “Jika sesuatu wasiat dibuat kepada bukan waris atas kadar yang tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si pewasiat selepas diselesaikan segala hutangnya, wasiat itu hendaklah berkuatkuasa tanpa perlu mendapat apa-apa persetujuan warisnya.”

Seksyen 26(2) memperuntukkan: “Sesuatu wasiat yang dibuat kepada seseorang waris atas dasar melebihi satu pertiga hendaklah tidak berkuat kuasa sehingga diberi persetujuan oleh warisnya selepas kematian pewasiat.”

Melihat realiti semasa, kita dikejutkan laporan akhbar RM42 bilion harta orang Islam di Malaysia beku membabitkan kes gagal diselesaikan pewaris kerana tiada wasiat. Jumlah yang besar itu memberikan impak buruk kepada perkembangan ekonomi orang Islam.

Justeru, penting seseorang Muslim mengambil inisiatif menulis wasiat bagi memudahkan urusan pembahagian pusaka selepas berlaku kematian. Penulisan wasiat ketika hayat memastikan kepentingan waris terjamin dan proses pembahagian harta pusaka berjalan lancar.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Read more...

Emas lepasi paras AS$1,600 seauns

Monday, July 18, 2011

BERITA HARIAN 19 JULAI 2011

Oleh Mahanum Abdul Aziz
mahanum@bharian.com.my

Pelabur alih tumpuan berikutan bimbang krisis hutang di Eropah, AS berlarutan



HARGA emas melonjak melepasi paras AS$1,600 seauns semalam, iaitu paras tertinggi dalam sejarah, berikutan belian berterusan pelabur yang mengalihkan pelaburan kepada logam berharga itu kerana bimbang masalah hutang semakin meruncing di Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Harga komoditi itu terus mengukuh dalam sesi dagangan pagi semalam dengan melonjak ke paras AS$1,600.10 seauns di Pasaran Jongkong London selepas menyaksikan arah aliran meningkat sejak Jumaat. Ketua Penyelidik di Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata ketidaktentuan terhadap penyelesaian masalah hutang di Eropah serta AS menyebabkan pelabur mengalih tumpuan terhadap emas kerana logam berharga itu dianggap sebagai pelaburan paling selamat ketika krisis.

Beliau berkata, harga emas dijangka meneruskan arah aliran menaik dengan potensi untuk mencecah AS$1,650 seauns dalam jangka sederhana dan AS$2,000 seauns dalam tempoh dua tahun.

“Kelemahan dolar AS dan euro berikutan kebimbangan masalah hutang yang semakin meruncing di negara ekonomi terbesar dunia dan rantau mata wang tunggal itu menyebabkan pelabur memilih untuk melabur dalam emas, sekali gus melonjakkan harganya,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Beliau berkata, pelabur semakin bimbang dengan perkembangan terkini di AS selepas Presiden Barack Obama dan Parti Republikan terpaksa bekerja keras pada hujung minggu lalu bagi mencapai persetujuan menaikkan paras siling hutang negara itu.
Nazri berkata, kebimbangan pelabur kemungkinan krisis hutang di Eropah akan merebak ke Itali dan Sepanyol telah menyebabkan mata wang euro didagangkan lemah dan keadaan itu mendorong peningkatan permintaan untuk emas.

Kelmarin, Senat parti campuran bercadang membuktikan paras hutang AS dapat dikurangkan jika ia memperoleh hasil sebanyak AS$1.5 trilion hasil potongan perbelanjaan untuk tempoh sedekad.

Jika kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan menjelang tarikh akhir pada 2 Ogos ini, ekonomi terbesar dunia itu mungkin berdepan isu kegagalan membayar hutangnya.

Ia adalah senario yang digambarkan Obama sebagai ‘kehancuran ekonomi’, sekali gus akan memberi kesan ketara pada peringkat global.

Krisis zon Euro juga terus berlanjutan berikutan penggubal dasar masih gagal memperoleh pelan penyelamat kedua untuk Greece.

Kenyataan terkini Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Jean-Claude Trichet bahawa ECB tidak dapat menerima kegagalan penebusan semula bon sebagai cagaran telah membimbangkan pelabur.

Sebelum ini terdapat laporan mengatakan harga emas dijangka meneruskan aliran meningkatnya sehingga mencecah AS$2,100 seaun atau AS$67.5 (RM202.57) segram menjelang 2014, susulan permintaan kukuh pengguna dan pelabur.

Akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya

Read more...

Harga emas RM202.57 segram

Friday, July 8, 2011

BERITA HARIAN 8 JULAI 2011
Oleh Mahanum Abdul Aziz

Permintaan kukuh pengguna serta pelabur global menjelang 2014



HARGA emas dijangka meneruskan aliran meningkatnya sehingga mencecah AS$2,100 seaun atau AS$67.5 (RM202.57) segram menjelang 2014, meningkat 33 peratus berbanding harga semasa AS$1,527.2 (RM) atau AS$49.1 (RM147.32) segram susulan permintaan kukuh pengguna serta pelabur global.

Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank (Stanchart), Steve Brice, berkata menjelang awal tahun depan, harga emas dijangka meningkat melepasi paras AS$1,600 seaun atau AS$51.4 (RM157.34) segram, 4.3 peratus lebih tinggi berbanding harga semasa. Brice menjelaskan, terdapat kaitan ketara antara pendapatan isi rumah di China dan India dengan harga emas berikutan peningkatan pendapatan boleh guna di dua negara pembeli emas utama dunia itu yang mana akan menggalakkan permintaan logam berharga berkenaan. Kumpulan perbankan universal yang memiliki lebih 1,700 cawangan di seluruh dunia itu, menjangkakan ekonomi China dan India akan terus mencatatkan pertumbuhan mantap, sekali gus melonjakkan pendapatan boleh guna rakyat di negara berkenaan.

“Permintaan emas dijangka terus meningkat kerana pelabur melihat komoditi itu sebagai pelaburan lindung nilai,” katanya pada taklimat media mengenai jangkaan pelaburan pada separuh kedua tahun ini di Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, Brice berkata, kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) juga menyebabkan bank pusat di seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing, justeru menyokong harga komoditi itu terus didagangkan pada harga tinggi.

Sementara itu, tambah beliau, keadaan kadar faedah benar yang masih negatif di AS menawarkan persekitaran yang baik untuk emas.
“Sejarah membuktikan pulangan dalam pelaburan emas sangat tinggi ketika kadar faedah sebenar adalah negatif,” katanya.

Bekalan emas juga, katanya, dijangka mengalami kekangan dalam tempoh terdekat dan ia akan terus menyokong kenaikan harga komoditi itu.

“Kita jangkakan harga emas akan mencecah AS$2,100 pada 2014 dan AS$1,600 pada suku pertama 2012,” katanya.

Pada suku keempat tahun lalu, permintaan barang kemas di India dan China masing-masing meningkat sebanyak 52.8 peratus dan 31.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, permintaan barangan perhiasan emas global meningkat 8.5 peratus pada suku keempat lalu atau 575.2 tan berbanding tahun sebelumnya.

Pada akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.

Mengenai pasaran saham Malaysia, Brice berkata, pihaknya amat positif dengan prestasi saham tempatan dalam tempoh terdekat kerana kebiasaannya pasaran saham akan mencatatkan prestasi yang baik pada Julai dan Ogos.

Beliau berkata, dengan jangkaan bahawa ekonomi global akan mencatatkan pemulihan pada separuh kedua tahun ini akan menyokong prestasi pasaran saham.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP