Harga emas lepasi paras AS$1,800 seaun
Thursday, August 11, 2011
UTUSAN MALAYSIA 12/08/2011
NEW YORK 11 Ogos - Harga emas dunia melepasi paras AS$1,800 (RM5,400) seaun semalam buat pertama kalinya selepas pelabur menarik keluar pelaburan mereka bagi membeli kontrak komoditi itu.
Emas menjadi kegemaran pelabur bagi berhadapan dengan keadaan pasaran yang tidak menentu pada masa ini.
Sementara itu, di awal dagangan pasaran emas Asia, komoditi tersebut melonjak ke paras tertinggi AS$1,814.50 (RM5,443.50) hingga AS$1,815.50 (RM5,446.50) seaun.
Rekod itu dicatatkan selepas pasaran ekuiti Asia menjunam pada dagangan awal, dengan Tokyo kerugian sehingga dua peratus, Seoul pula jatuh sebanyak empat peratus dan Sydney didagangkan 1.5 peratus lebih rendah.
Para pelabur telah dikejutkan dengan kemungkinan penurunan taraf kredit Perancis yang berada dalam keadaan terumbang-ambing selepas penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) diturunkan untuk pertama kalinya.
Khabar angin tentang penurunan taraf kredit Perancis itu timbul ekoran masalah yang dihadapi oleh beberapa bank di negara itu dan menguatkan lagi kebimbangan krisis hutang zon Eropah yang telah merebak.
Pelabur-pelabur bimbang bahawa Itali dan Sepanyol akan menjadi negara seterusnya yang tidak mampu membayar hutang mereka.
Sistem kewangan Eropah berada dalam keadaan buruk disebabkan oleh pihak bank yang memegang bon negara-negara yang mempunyai hutang besar seperti Greece dan Portugal.
Para pelabur dilihat berpaut kepada apa yang mereka rasakan sebagai pelindung nilai berbanding turun naik pasaran saham dan mata wang.
Komoditi itu pernah didagangkan sekitar AS$900 (RM2,700) pada musim panas 2008 sebelum krisis kewangan berlaku pada tahun itu. - Agensi
0 comments:
Post a Comment